Tuesday, July 22, 2008

MU-ZAKAR-AH ATAU MUZAKKARAH?


Malaysia hari ini dan juga sekarang ini sangat popular dan sedang hangat dengan isu-isu semasa dan politik tanahair. Selepas kes liwat DS Anuar Ibrahim, hari ini timbul pula isu mu-zakar-ah antara Parti UMNO dengan Parti PAS. Yang nyatanya Pihak UMNO menyambut baik saranan ini dan nampak begitu ikhlas dihati mereka untuk mengadakan mu-zakar-ah ini.

Perdana Menteri di dalam kenyataannya telah berkata, pihaknya telah 3 kali mengadakan mu-zakar-ah dengan pihak PAS untuk bermuzakkarah bersama. Dan Di Pihak PAS pula telah mengatakan telah mengadakan pertemuan sebanyak hanya 2 kali sahaja dengan Perdana Menteri. Kenapa ada pihak berkata sebanyak 2 kali dan satu lagi pihak terlebih pula iaitu sebanyak 3 kali. Tidak kisahlah 2 ataupun 3 kali, tapi yang pentingnya mereka memang ada usaha untuk mengadakan mu-zakar-ah ini bersama-sama.

Sebab apa yang saya tahu mu-zakar-ah ini bermaksud ‘untuk mengadakan pertemuan bersama serta berbincang berkenaan hak-hak orang melayu dan juga orang-orang Islam di Negara ini'. Dan perkataan mu-zakar-ah yang tertera di dalam akhbar dan berita di televisyen saya masih kurang memahami maksudnya. Cuma ayat yang ditengahnya sahaja yang saya fahami. Tetapi di dalam bahasa arab kita sebut sebagai 'muzakkarah'. Terdapat sabdu di huruf kafnya. Mungkin telah dialihbahasa ke bahasa Malaysia disebut mu-zakar-ah. Maafkan saya dan sila betulkan jika saya tersilap ataupun tersalah mentafsir perkataan ini.

Apakah Perdana Menteri merasakan sangat penting untuk bermu-zakar-ah dengan pihak PAS?. Apakah Perdana Menteri juga ingin merancang dengan pihak PAS untuk membuat satu ‘PAKATAN ISLAM’ dengan PAS? Apakah Perdana Menteri agak terdesak dan tertekan untuk berkerjasama dengan PAS memandangkan ‘Islam’ dan ‘melayu’ hari ini di tindas di bumi Malaysia ini? Ataupun Perdana Menteri mahu PAS menyertai UMNO ataupun Barisan Nasional untuk memperbaiki dan memperkuatkan ‘Parti Perikatan’ ini akibat kekalahan yang meng’aib’kan pada Pilihanraya yang lepas? Ataupun Perdana Menteri ingin menunjukkan keikhlasan dan ketelusan hatinya di mata rakyat untuk berkerjasama dengan pihak parti pembangkang?

Banyak juga persoalan saya tentang mu-zakar-ah antara Perdana Menteri dengan pihak PAS ini. Kita hanya akan dapat lihat sejauh mana mu-zakar-ah ataupun muzakkarah ini akan berlangsung dan mendapatkan jawapannya nanti jika ia benar-benar berlaku ataupun ianya hanya sekadar ‘hangat-hangat’ tahi ayam sahaja. Jika ini berlaku, maka ia merupakan satu sejarah antara kedua-dua belah pihak untuk berkerjasama dalam menangani sesuatu isu dan ianya juga merupakan harapan rakyat yang sebenarnya.

Sebagai rakyat kita tidak seharusnya memperlekeh-lekehkan ataupun mengejek-ejekan keputusan Perdana menteri ini. Ini kerana apapun keputusan dan juga dasar kerajaan yang mementing perpaduan rakyat dan mempertahankan hak-hak bumiputera di negara ini haruslah kita sokong dan kita terima demi untuk kebaikan bersama tanpa mengira pahaman politik semata-mata. Sesungguhnya perpaduan dan persefahaman antara kita sangat diperlukan untuk kita sama-sama membina dan menaikkan nama Malaysia kahsnya ISLAM di mata dunia. Dan dengan perpaduan dan persefahaman inilah rakyat dapat menentukan yang baik untuk mereka manakala perkara yang tidak baik dapat kita hindarkan sebaik-baiknya.

Tetapi apa yang saya lihat tentang isu ini ialah ianya tidak mendapat restu atau izin Mursyidul am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan alasan beliau ‘takut’ PAS akan berpecah belah kerana akan bermu-zakar-ah dengan Parti UMNO ini. Dan yang peliknya lagi, beliau juga tidak diajak dan berunding tentang perkara ini dengan pemimpin-pemimpin PAS lain sebelum bertemu Perdana Menteri. Manakala sebaliknya di pihak Perdana Menteri pula sangat mengalu-alukan dan bersedia untuk mengadakan mu-zakar-ah dengan parti PAS ini dan ianya juga mendapat restu daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang lain. Mengapa pula begini jadinya? Bukahkah Pihak UMNO dan Pihak PAS sebelum ini tidak sehaluan dan mempunyai prinsip yang berbeza antara mereka? Walaupun berkenaan hal-hal orang-orang melayu dan Islam di Negara ini.

Apakah pemimpin-pemimpin PAS lain ini merasakan pentingnya perkara itu untuk dibincangkan dengan Perdana Menteri? Dan Apakah Parti PAS ini merasakan keadaan orang-orang Melayu dan juga orang-orang Islam di Malaysia ini tidak bersatu padu dan di dalam keadaan terancam? Bukahkah parti PAS ini telah menunjukkan prestasi dan pemerintahan cara Islam yang adil dan saksama kepada rakyatnya seperti di Kelantan, Kedah, Perak, Selangor Dan juga Pulau Pinang? Bukankah rakyat telah menunjukkan kesatupaduan mereka untuk melantik mereka menerajui serta merampas negeri-negeri tersebut daripada Barisan Nasional melalui Pakatan Rakyat mereka ini?

Dan apa yang saya ketahui perbincangan untuk mengadakan mu-zakar-ah ini hanya dipelopori oleh orang-orang tertentu sahaja di dalam PAS dan juga dengan hanya Perdana Menteri seorang sahaja. Adakah orang-orang UMNO lain tidak di ajak ataupun melibatkan diri mereka untuk bersama-sama memutuskan ataupun berbincang untuk mengadakan mu-zakar-ah dengan parti PAS ini? Bagaimana dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Dimana PKR ini juga kebanyakkannya terdiri daripada orang melayu dan juga orang Islam amnya walaupun ketua mereka terlibat dengan perbuatan liwat yang ditegah dan dilarang dalam Islam.

Dan Kenapa UMNO sendiri tidak dapat menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan melayu dan islam ini? Bukankah sejarah mereka selama ini telah berjaya dan membawa orang-orang melayu dan juga agama Islam ini dipandang tinggi dan dicontohi oleh bangsa-bangsa asing dan juga negara-negara luar? Apakah Perdana Menteri kita sudah tidak ada ‘akal’ lagi untuk menyelesaikan segala permasalahan ini? Ataupun Perdana Menteri ingin mengambil kesempatan di atas segala permasalahan yang melibatkan pentadbiran kerajaan pembangkang hari ini yang begitu mengambil berat kebajikan rakyatnya hari ini?

Dan yang akhir sekali persoalan saya, Mengapakah Perdana Menteri sendiri tidak bermuzakkarah dengan pemimpin-pemimpin lain di dalam kerajaannya hari ini seterusnya mencari jalan penyelesaian berkenaan isu-isu tersebut ? Entahlah saya pun agak bingung memikirkan tindak tanduk Perdana Menteri kita hari ini. Bagi saya apapun yang beliau lakukan hari ini masih membuatkan saya rasa benci dan bosan dengan apa yang beliau lakukan hari ini. Kita tunggu sahaja episod mu-zakar-ah antara pihak UMNO dan pihak PAS ini seterusnya. Adakah ianya akan berjaya ataupun tidak. Ini semua terpulang pada niat dan keikhlasan hati masing-masing demi bangsa melayu dan agama Islam yang lagi suci ini.