Wednesday, July 2, 2008

Forum ‘Kontrak Sosial’ Majlis Peguam: Tafsiran sempit dan fakta dimanipulasi


[Laporan dari blog BigGuy - 28 Jun 2008]

Penganalisa politik Dr. Farish A. Noor pagi ini menghina UMNO sebagai “Memomokan orang Melayu bahawa mereka diancam” agar parti nasionalis Melayu untuk terus mengamalkan politik “Memberi perlindungan kepada orang Melayu seolah olah orang Melayu ini binatang, yang sentiasa memerlukan perlindungan. Binatang ternakan (ayam, itik, kambing) perlu dilindung dan akhirnya akan disembelih”.

Beliau mengatakan demikian dalam pengulungan program Forum Kontrak Sosial anjuran Majlis Peguam di Auditorium Majlis Peguam, Lebuh Pasar, Kuala Lumpur. Beberapa ahli Pemuda UMNO yang hadir bangkit, meminta laluan cuba mencelah dan secara tegas menegur Dr. Farish yang dianggap keterlaluan dan ketelanjuran bahasa. Dr. Farish walaubagaimanapun tidak pula menarik balik atau meminta maaf.

Sebelum itu, beliau menegaskan bahawa kerakyatan warga Malaysia dan konsep sistem politik negara ini ditubuhkan adalah sebagai ‘maya’ (artificial). Maka ‘Kontrak Sosial’ yang diujudkan “secara maya” adalah alasan untuk mengekalkan konsep ‘bukan nyata’ (vague) seperti kewarga negaraan untuk menentukan bahawa rakyat mempunyai sifat ‘kekitaan’ (sense of belonging)”. Oleh itu, beliau menjelaskan bahawa ‘Kontrak Sosial’ boleh di’ubah semula’.

Dr. Farish yang kini Fellow Kanan Fakulti Sains Politik Rajaratnam Universiti Nanyang Singapura juga menolak bagaimana sistem politik Malaysia yang berdasarkan menjaga kepentingan dan menurut kaum yang beliau anggap sebagai ‘pemerintahan berpuak’ (sectarian rule).

Forum dimulakan dengan pembentangan kertas kerja oleh Dr. Mavis Puthucheary yang mengatakan sebenarnya UMNO tidak mendapat mandat rakyat seluruh negara untuk merundingkan ‘Kontrak Sosial’, yang beliau dakwa sebenarnya tidak ujud dan sengaja diada adakan. Konsep ‘Ketuanan Melayu’ yang pertama kali digunakan oleh Mantan Setiausaha Politik Perdana Menteri Ke II Dato’ Abdullah Ahmad (sekarang Tan Sri) di Singapura pada 1986 merupakan sesuatu yang sengaja diada adakan untuk menentukan kuasa Melayu pada UMNO terus relevan.

Beliau juga menegaskan bahawa konsep ‘Kongsi Kuasa’ yang diamalkan Kerajaan Perikatan, kemudian Barisan Nasional membatasi prinsip pemerintahan demokrasi. Oleh itu, ‘Kontrak Sosial’ sebenarnya tidak ujud.

Mantan MP DAP bagi Petaling Jaya Dr. Kua Kia Soong pula menegaskan bahawa “Ketuanan Melayu” merupakan imaginasi ‘politikus yang mengambil kesempatan’ (political carpet baggers) dan pejuang Kemerdekaan sebenar merupakan golongan berhaluan kiri seperti Independent Malayan Party, Angkatan Pemuda Insaf dan pengganas seperti Parti Komunis Malaya. British bersetuju memberikan Kemerdekaan Malaya kepada UMNO kerana mereka bersifat lebih pro-British. Parti Perikatan didakwa sebagai sesuatu yang diujudkan British dalam agenda Neo Colonialist.

British, yang memulakan penyusunan semula masyarakat semasa darurat melalui sistem ‘kampung baru’ (new village) disifatkan Dr. Kua sebagai ‘Kem Tahanan’ (concentration camps) dan merupakan agenda untuk menentukan orang keturunan Cina sentiasa dalam keadaan ‘dikawal’.


Dr. Kua masih lagi mempertahankan bahawa UMNO merupakan golongan ‘samseng’ (hoodlums) dan peristiwa berdarah rusuhan kaum 13 Mei 1969 merupakan angkara ‘samseng’ (hoodlums) dalam UMNO. Peranan DAP menghina orang Melayu Kampung Baru pula tidak langsung disebut sebagai punca rusuhan itu. “Kuasa pada Melayu wajar dikurangkan dari masa ke semasa (Malay control should be reduced in time)” dan mengutarakan konsep “Malaysian, Malaysia”. Dr. Kua juga menyifatkan sistem yang diamalkan oleh pemerintahan yang diterajui UMNO sebagai ‘Fasis’ (Facist).

Pembangunan ekonomi orang Melayu selepas Merdeka pula disifatkan sebagai “Kelas Kapitalis Negara Melayu” (Malay State Capitalist Class), terutama selepas keujudkan MARA, Bank Bumiputra, Tabung Haji selepas Kongress Ekonomi Bumiputra I (1965) dan II (1966). Beliau juga membangkitkan mengenai ITM, program Asasi Sains UM dan Matrik USM.

Peguam terkenal Tommy Thomas, sebagai panelis ketiga tidak bersetuju dengan kedua panelis awal ini dan menjelaskan bahawa ‘Kontrak Sosial’ merupakan elemen penting (”Striking feature“) dalam Perlembagaan Tanah Melayu dan mencadangakan bahawa sejarah dikaji dengan perjalanan dan tafsiran yang betul. Peranan Raja Melayu dalam proses Kemerdekaan juga perlu diambil kira.

Beliau menyanggah hujah bahawa UMNO dan perikatan bersama MCA dan MIC tidak mewakili aspirasi rakyat Malaya. Perikatan yang mendapat mandat 51 dari 52 kerusi dalam Pilihanraya Umum 1955 dan undi popular 80% merupakan manifestasi jelas bahawa kerjasama akrab tiga pihak ini membuahkan ‘Kontrak Sosial’ yang dipersetujui antara Tunku Abdul Rahman Putra, Dato’ Razak Hussein, Dato’ Dr. Ismail Abdul Rahman, Dato’ Panglima Bukit Gantang Hj. Wahab dengan Tan Cheng Lock, Col. H.S. Lee dan V. T. Sambathan. Ianya merupakan sesuatu yang benar dan selesaian kepada kemelut isu isu tertentu setiap kaum, yang diterima British sebelum Kemerdekaan dicapai, termasuk soal kerakyatan kaum immigran. Proses untuk mengesahkan kerakyatan juga dipermudahkan.

“Hanya sebab ‘Kontrak Sosial’ tidak boleh didefinisikan hari ini, tidak bermakna ianya tidak ujud (Just because Social Contract is undefinable today, doesn’t mean it did not exist)” dan memberi tafsiran sebagai “Perundingan (tawar menawar) yang berjaya dicapai antara tiga kaum dibawah pemerhatian British (Bargain reached by the three communities under observation of the British)”.

“‘Roh Kontrak Sosial’ ujud yang (dimanifestasikan dalam bentuk beberapa artikel) dalam Perlembagaan Tanah Melayu merangkumi keperluan orang Melayu tidak diabaikan, tiada penindasan kaum, tiada pemecahan negara (partition) dan sebagai balasan, orang Melayu meminta Bukan Melayu memberikan taat setia tidak berbelah bagi kepada Negara”.

Thomas menjelaskan bahawa ‘Kontrak Sosial’ diperkukuhkan lagi dengan kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan ianya berlaku sedikit perubahan menjelang Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan pada 1971. Walaubagaimanapun, semenjak PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menerajui Kepimpinan, ancaman keatas ‘Kontrak Sosial’ makin ketara dan lebih banyak diperbincangkan.

Forum hari ini menyaksikan bahawa ada pihak pihak yang sengaja memutar belitkan fakta dan sejarah dan memberikan tafsiran sempit, menurut kepentingan politik dan aspirasi mereka, hanya kerana mereka menentang DEB dan mahukan konsep “Malaysian, Malaysia” menjadi teras utama program pembangunan ekonomi dan pengagihan kekayaan, sebagaimana yang mula mula diketengahkan PAP dan kemudian diteruskan DAP sehingga hari ini.